Monday, June 20, 2005

Al-Quds (Baitulmuqaddis)

Allah s.w.t telah berfirman tentang Masjidilaqsa iaitu: "Yang Kami berkati sekelilingnya."
Apa yang dimaksudkan dengan sekelilingnya ialah bandar Al-Quds (Baitulmuqaddis).
Bandar Al-Quds terletak di garisan bujur 35 darjah dan di garisan lintang 31 darjah.Bandar Al-Quds adalah merupakan bandar yang tertua di dunia, di mana ia telah dibangunkan pada tahun 3000 Sebelum Masihi.


Di dalam bandar ini terdapat Masjidilaqsa yang juga termasuk di antara masjid yang tertua di dunia selepas Masjidilharam. Imam Bukhari dan perawi-perawi yang lain telah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: Nabi s.a.w ditanya: Masjid yang manakah pertama kali dibina di atas muka bumi? Lalu baginda bersabda: Masjidilharam. Selepas itu baginda di tanya lagi: Selepas itu? Baginda bersabda: Masjidilaqsa. Kemudian baginda ditanya: Berapakah jarak tempoh pembinaan di antara keduanya? Baginda menjawab: 40 tahun.

Pembukaan Islam telah berjaya sampai ke bandar Al-Quds selepas kekalahan tentera Rom di dalam peperangan Yarmuk menjadikan jalan ke Baitulmuqaddis terbuka luas. Lalu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah r.a meminta supaya Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a datang ke bandar Al-Quds kerana penduduk bandar Al-Quds tidak mahu menyerah kecuali selepas kehadiran Khalifah umat Islam untuk menerima penyerahan bandar tersebut. Lantas Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a pergi ke Baitulmuqaddis pada tahun 15 Hijrah bersamaan 636 Masihi serta memberi jaminan keamanan kepada penduduk di sana serta berjanji untuk menjamin keselamatan jiwa, harta dan tempat-tempat ibadat mereka serta tidak membenarkan orang-orang Yahudi untuk tinggal bersama mereka di bandar Al-Quds. Khalifah Umar bin Al-Khattab telah memberi kebebasan beragama kepada penduduk di bandar Al-Quds secara membayar Jizyah. Beliau juga menolak permintaan salah seorang paderi untuk mendirikan sembahyang di dalam gereja Kristian supaya masyarakat tidak terikut-ikut untuk melakukan tindakan yang sama. Kemudian beliau pergi ke kawasan Masjidilaqsa lalu menyapu kotoran yang terdapat pada batu As-Sakhrah seterusnya beliau membina sebuah masjid di sudut sebelah selatan tempat tersebut.

Di dalam Islam Masjidilaqsa mempunyai kedudukan yang sangat tinggi, di mana ia merupakan kiblat pertama bagi umat Islam dan Nabi s.a.w sendiri pernah mendirikan sembahyang sebanyak 17 bulan secara menghadap ke arah Masjidilaqsa, kemudian baginda menukar arah kiblat ke Masjidilharam setelah diturunkan perintah oleh Allah supaya baginda berbuat demikian.

Dari masjid inilah juga Rasulullah s.a.w dimikrajkan ke langit selepas baginda diisra'kan dari Masjidilharam ke Masjdilaqsa selama satu malam dan mendirikan sembahyang bersama seluruh para nabi-nabi sebelum baginda melakukan perjalanan Mikraj ke langit.
Pada setiap masa dan zaman para pemimpin dan khalifah umat Islam kelihatan sentiasa memberikan perhatian yang tinggi terhadap bandar Al-Quds yang penuh dengan keberkatan ini. Contohnya pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah, Abdul Malik bin Marwan telah membina Kubah As-Sakhrah pada tahun 72 Hijrah bersamaan 691 Masihi dan selang beberapa tahun selepas itu Al-Walid bin Abdul Malik telah membina kembali Masjidilaqsa.

Tidak ketinggalan juga pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiah, di mana mereka turut memberi perhatian kepada bandar Al-Quds sehinggalah pemerintahan Islam menjadi lemah dan Masjidilaqsa dikuasai oleh tentera Salib selama hampir 100 tahun kemudian dibebaskan kembali oleh pahlawan Islam yang agung iaitu Salahuddin Al-Ayubi rahimahullah.

Setelah itu Al-Quds mendapat perhatian penuh pada zaman pemerintahan kerajaan Othmaniah dan terus berada dalam keadaan aman sehinggalah berlaku kelemahan di dalam pemerintahan Kerajaan Othmaniah yang diakhiri dengan kejatuhan Khalifah Islamiah menyebabkan orang-orang Yahudi dapat masuk ke bandar Al-Quds dan Al-Quds masih lagi dijajah oleh Zionis Yahudi sehinggalah ke hari ini.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home