Masjid Qiblatain
Masjid Qiblatain terletak di tengah-tengah perkampungan Bani Salamah, iaitu di sebelah barat daya Madinah. Ia dikelilingi oleh kebun-kebun. Manakala Wadi Al-Aqiq pula terhampar di sebelahnya.
Sewaktu Rasulullah tiba di Madinah, Baginda diarahkan supaya menghadap ke arah Baitul Maqdis(kiblat solat) dan ramai di antara penduduk Madinah waktu itu daripada kalangan Yahudi dan memang kiblat mereka ialah Baitul Maqdis. Oleh itu, orang Yahudi sangat gembira dengan perbuatan Rasulullah ini, sedangkan Rasulullah sebenarnya lebih suka jika kiblat solat ditukar ke arah Baitullah. Rasulullah pun berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah.
Ada riwayat mengatakan bahawa orang-orang Yahudi sentiasa mengejek Rasululllah dengan berkata: “Muhammad menentang ajaran kita tetapi solatnya mengikut kiblat kita” . Akhirnya, selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah menghadap ke Baitul Maqdis, barulah Baginda mendapat perintah untuk berkiblatkan Kaabah.
Terdapat beberapa pendapat tentang turunnya ayat penukaran qiblat ini. Antaranya, Ibnu Saad meriwayatkan bahawa Rasulullah sedang melawat Ummu Bishr bin Al-Bara’ di kawasan Bani Salamah. Apabila tiba waktu solat zuhur, Baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Sedang Baginda berada di rakaat kedua solatnya, turun wahyu dari Allah memerintahkannya agar menukar arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke arah kaabah di Masjidil Haram. Baginda terus berpaling menghadap ke arah kaabah, ke sudut yang bertentangan dengan saluran emas dengan pusingan 180 darjah dan menyambung baki solatnya. Begitulah masjid yang bersejarah ini mendapat namanya.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home