Hamah
Lokasi Hamah:-
-Sebuah bandar di Republik Arab Syria sekarang ini.
- Bandar Hamah terletak di garisan lintang 35° ke Utara dan di garisan bujur 37° ke Timur. Kedudukan bandar ini yang mengalami berapa musim dalam setahun menjadikan cuacanya sentiasa berada di dalam keadaan sederhana, nyaman malah pemandangannya menjadi lebih indah terutamanya dengan pelbagai jenis bunga.
Sejarah Hamah:-
-Bandar Hamah telah terkenal sejak Sebelum Masihi lagi ketika Hittite berjaya mengalahkan penduduk peribumi Syria yang berasal dari bangsa Aramean.
- Pada tahun 1700 Sebelum Masihi Raja Tahtamis III telah berjaya memasukkan Syria serta Hamah ke dalam pemerintahan kerajaannya.
- Dalam jangka masa sekitar 1000 tahun Sebelum Masihi, bandar Hamah telah berada di bawah kekuasaan kerajaan Nabi Daud a.s. Kemudian bandar Hamah berada di bawah pemerintahan kerajaan Bani Israel untuk seketika tetapi pada ketika yang lain pula bandar Hamah merdeka dari cengkaman tersebut. Keadaan ini terus berlalu sehinggalah Bukhtanassar, Raja Babilonia berjaya mengguling kerajaan Bani Israel serta berjaya menguasai negara mereka dan menawan tentera-tentera yang terdapat di bandar Hamah seterusnya Hamah berada di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Akbar ketika dia berjaya membuka Syria.
- Dari tahun 332 sehingga ke tahun 62 sebelum Masihi, bandar Hamah terus berada di bawah kekuasaan raja-raja Yunan secara silih berganti, kemudian melalui zaman peperangan dan penberontakan dalam tempoh yang agak lama.
- Setelah itu pada tahun 64 Masihi, bandar Hamah berada di bawah kekuasaan Rom. Pada zaman pemerintahan Rom inilah, bandar Hamah boleh dikatakan dapat melalui zaman-zaman kejayaan dan kegemilangannya malah penduduknya semakin ramai. Rakyat membina sejenis kincir air di sungai Aasi untuk mengalirkan air ke tempat-tempat yang lebih tinggi. Pada zaman ini jugalah bandar Hamah banyak mendapat bantuan untuk menanam zaitun.
Abu Ubaidah berjaya membuka Hamah:
Abu Ubaidah bin Al-Jarrah, seorang sahabat Nabi s.a.w yang terkemuka telah berjaya membuka bandar Hamah pada tahun 18 Hijrah kemudian membuat perjanjian perdamaian dengan rakyat Hamah dengan bayaran jizyah (ufti) iaitu selepas pembukaan Hims. Setelah itu bandar Hamah terus berada di bawah pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin, kemudian berada di bawah pemerintahan Bani Umaiyah seterusnya berada di bawah pemerintahan kerajaan Bani Abbasiah.
Al-Qaramitah menyerang Hamah:
Pada tahun 291 Hijrah, bandar Hamah sekali lagi menghadapi tragedi bersejarah hasil dari serangan Al-Qaramitah di bawah pimpinan ketua mereka Abu Syamah di mana mereka membunuh rakyat Hamah dan kanak-kanak yang tinggal di sana malah mereka melakukan tindakan tersebut sama sebagaimana yang telah mereka lakukan di beberapa buah bandar Syam yang lain sehinggalah Khalifah Al-Muktafi dari kerajaan Bani Abbasiah menghantar pasukan tentera yang sangat besar kepada mereka. Lalu mereka menumpaskan pasukan tentera Al-Qaramitah tersebut dan berjaya menangkap Abu Syamah. Kemudian Khalifah memerintahkan supaya Abu Syamah dibunuh di Baghdad.
Imaduddin Zinki mengambil alih kekuasaan di Hamah tanpa berlaku peperangan:
Pada tahun 523 Hijrah, Imaduddin Zinki memasuki bandar Hamah dan mengambil alih kekuasaan bandar tersebut tanpa berlaku peperangan. Bandar Hamah terus berada di bawah kekuasaan mereka sehinggalah ke zaman pemerintahan anak beliau Al-Mujahid Nuruddin Mahmud.
Gempa bumi melanda Hamah:
Pada bulan Rejab tahun 552 Hijrah, gempa yang sangat dahsyat melanda bandar Hamah menyebabkan kesemua kota-kota dan benteng-bentengnya runtuh. Walau bagaimanapun Nuruddin Mahmud terus membinanya semula dengan seberapa segera dalam bentuk yang lebih baik, lebih kuat dan lebih elok. Beliau turut membina kembali benteng-benteng Hamah, kota-kota serta membina masjid yang sangat terkenal dan di sampingnya terdapat sebuah hospital An-Nuri.
Bandar Hamah berada di bawah perlindungan Sultan Salahuddin dan Mansur pula berjaya menghalang serangan tentera salib:
Pada tahun 570 Hijrah bandar Hamah berada di bawah perlindungan Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Pada tahun 573 Hijrah tentera Salib telah cuba mengepung bandar Hamah tetapi Sultan Salahuddin berjaya mengawalnya dari terjerumus ke dalam cengkaman mereka. Pada tahun 599 Hijrah tentera Salib cuba mengepung bandar Hamah sekali lagi tetapi Al-Mansur sebagai raja Bahrain pada ketika itu berjaya menghalang serangan tentera Salib dengan bantuan raja Baklabakka.
Tentera Tartar memasuki Hamah dan Qutuz berjaya mengusir mereka kembali:
Pada tahun 657 Hijrah, tentera Tartar berjaya memasuki bandar Hamah serentak dengan kemasukan mereka ke bandar-bandar umat Islam yang lain sehinggalah Raja Al-Muzaffar berjaya menghalau mereka keluar setelah Raja Muzaffar berjaya mengalahkan mereka di dalam peperangan Ain Jalut.
Banjir sungai Al-Aasi dan ramai yang menghidap penyakit taun:
Pada tahun 745 Hijrah, hujan telah turun dengan lebat di bandar Hamah, menyebabkan sungai Al-Aasi banjir dan menenggelamkan rumah-rumah penduduk yang tinggal di sana kemudian diikuti pula dengan wabak taun yang menyerang manusia.
Timur Lank memasuki Hamah kemudian Sultan Salim I berjaya merebutnya kembali:
Pada tahun 803 Hijrah, Timur Lank telah berjaya memasuki bandar Hamah kemudian pada tahun 922 Hijrah bandar Hamah berada di bawah kekuasaan Sultan Kerajaan Othmaniah iaitu Sultan Salim I setelah ia berjaya diambil alih, setelah itu ia terus berubah sehinggalah berada di dalam keadaan sebagaimana sekarang ini.
Mercu tanda Hamah:
Bandar Hamah telah terkenal dengan benteng-benteng, kota-kota yang besar, jambatan-jambatan, kincir-kincir air, masjid-masjid, tempat-tempat mandi, pengisar-pengisar dan hospital-hospital.
Tokoh-tokoh ulama Hamah:
Sebagaimana bandar Hamah mempunyai kedudukan ilmu yang sangat agung, bandar ini juga telah melahirkan ramai di kalangan alim ulama, sasterawan, penyair-penyair serta tokoh-tokoh yang terkemuka. Di antara ulama yang terkemuka di bandar ini ialah Syeikh Jamaluddin Muhammad bin Sam bin Wasil yang mahir di dalam bidang Usuluddin, fekah, ilmu falak, sejarah, mantik dan kejuruteraan. Begitu juga dengan Syeikh Syarafuddin Abdul Aziz Al-Ansari yang dikenali dengan gelaran Syeikh Asy-Syuyukh (Syeikh kepada semua Syeikh), Ibnu Khidhr bin Qasim Al-Hamawi yang terkenal sebagai salah seorang penyair yang agung. Manakala pakar kaedah tatabahasa pula ialah Tajuddin Muhammad bin Hibatullah Al-Barmaki Al-Hamawi, di antara ahli sejarah yang terkemuka ialah Jamaluddin bin Barakat Aýl-Hamawi, di antara ahli geografi dan ahli sejarah yang terkemuka serta sering menjelajah ialah Yaqut Al-Hamawi pengarang kitab Mukjam Al-Buldan (Ensiklopedia Negara-negara), di antara ulama syariah yang terkenal ialah Muhammad bin Al-Muzaffar Al-Hamawi, Ibnu Razin Al-Hamawi, Ibrahim bin Abi Ad-Dam, Ibnu Al-Fakih Ibrahim bin Nasr bin Taqah, Ibnu Sa'dullah dan ramai lagi alim ulama selain daripada mereka.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home